Tuesday, September 1, 2009

MAKAN SECARA SIHAT




Nampaknya pasar ramadhan di kawasan rumah saya sesak. Bukan setakat orang Islam yang mengunjunginya malah kaum Cina dan India juga tidak melepaskan peluang untuk merasai kelazatan juadah yang dijual. Kami sekeluarga memasak sendiri juadah berbuka, cuma bila adik-adik merengek mahukan sate, ayam percik dan kuih muih barulah bazar ramadhan kami kunjungi.


Setelah seharian berpuasa, pastinya pelbagai juadah akan dibeli apabila berkunjung ke pasar atau bazar Ramadhan ini. Pada masa ini, apa saja yang teringin pasti akan dibeli tanpa memikirkan adakah kita mampu untuk makan kesemua makanan tersebut. Apa yang paling penting, rata-rata antara kita mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.


Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah untuk berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.


Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Secara ideal, diet semasa berbuka puasa adalah seperti berikut :


Berbuka

3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur dan 1 keping kuih.


Makan malam

11/2 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.


Makan lewat malam

Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic kacang atau buah-buahan. Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari. Manakala, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi pula boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.


Sahur

Amalan bersahur adalah penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu Subuh. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan. Ini kerana tenaga yang diambil daripada makanan sebelum tidur akan disimpan di dalam badan sebagai lemak.

Semasa bersahur , adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur.

Ramadhan merupakan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula. Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana selagi ia tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan pengambilan nutrien. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
SELAMAT BERPUASA :)

2 comments:

pn-iena said...

Bagus tul entry makan secara sihat ni...leh igt mengingatkan sesama kita... =)

selamat berpuasa

Sofia said...

Assalamualaikum wbrt :)

Ye, Pn-Iena... Tapi kadang2 saya pun terlajak makan :) Selalu makan ais krim selepas berbuka....