Wednesday, September 30, 2009

SIBUK :)

Hari ni ada meeting jam 9.00 pagi pasal majlis sambutan hari raya....
Kena settlekan pasal hamper dan cabutan bertuah... Adoi...
Pastu kena siapkan sebutharga jalan ladang...
Yang penting keluar iklan dulu...
Pastu nak siapkan BQ jalan premix...
Ni pun sama, kena keluarkan iklan dulu...
Hari ni kena jaga piling, huhuhu, Encik Tahir cuti...
Bosannya jaga seorang diri...
PAGI NI HUJAN LEBAT LEBAT, MESTI BERBECAK KAWASAN KERJA...
Dan paling menyayat hati... ASSIGNMENT TAK SIAP LAGI :-(

Tuesday, September 29, 2009

KISAH TENTANG SEBUAH KASIH SAYANG :)

KISAH KASIH SAYANG UNTUK DIRENUNGI :)


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.


Petang itu, pulang saja dari sekolah – ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.


“Siapa ambil duit ayah?” tanya ayah bagai singa lapar.


Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.


“Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah rotan!” sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.


Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, “Saya yang ambil!”


Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.


Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut:
“Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?”


Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.


Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,”Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!”Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.


Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.


Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, “Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!”


“Tapi apalah maknanya bang…!” aku terdengar ibu teresak-esak.“Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?”


Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.“Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!”Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam.


Panggggg…. sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.


“Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!”


“Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,” aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.


“Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti.”Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya.Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…. .


“Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak.”


Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.


Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:“Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!”


“Pemuda kampung?” bisikku. “Siapa?”


Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.“Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!”
Sambil tersenyum dia menjawab, “Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?”


Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.


Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, “Akak tak peduli apa orang lain kata.”
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, “Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak.”


Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.


Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.


“Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.”


“Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka.” Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.


“Sakit ke?” aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.


“Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.


Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras.”


Apalagi…aku menangis seperti selalu.


Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.


“Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?” kata adik.


“Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada.”


“Adik tak ke sekolah pun kerana akak.” kata ku memujuk.


“Kenapa sebut kisah lama, kak?” katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.


Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, “Siapakah orang yang paling anda sayangi?”


Spontan adik menjawab, “Selain emak, kakak saya….”katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.


“Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. “


“Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila.”


Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria

Monday, September 28, 2009

CERITA TENTANG RAYA :)

Assalamualaikum wbrt….

Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini terasa lebih bermakna dari yang sebelumnya. Kami sekeluarga bergotong royong mengemas rumah, memasang langsing, termasuk memasak rendang, daging masak taucu dan laksa. Hehehe… Sedap… Sedap… Sedap!


Teringat dekat blogger tersayang, Miss Wista, Mama Min, Kak Zai, Kak Asma, Pn-Iena, Mama Kiter, Mak Dara Terdiva, Kak Azian, Datin El... Dan mcm2 lagi yang lamannya selalu saya lawati... Mesti blogger semua seronok menyambut raya bersama2 keluarga tersayang. Alangkah indahnya kalau dapat berjumpa ngan blogger2 semua ni kan....


Berbalik kepada cerita hari raya..Tahun ni jer saya memperuntukkan RM 1,000.00 khas untuk tetamu yang datang. Termasuk mak-mak saudara yang berumur 45 tahun dan ke atas. Semua urusan pemberian duit raya emak yang uruskan. Alhamdulillah tepat raya ke 8, angpau RM 1,000 cuma berbaki RM 20.00 je. Paling best tahun nie sama sahaja macam tahun2 lepas. Saya tak belipun baju raya untuk diri saya. Setiap tahun saya mesti dapat hadiah baju raya daripada kawan2. Tahun ni dapat 2 pasang. Tapi saya Cuma pakai sepasang je. Sepasang lagi tak tau la nak pakai bila…….


Hari raya pertama biasala… Salam cium tangan mak, ayah dan adik beradik, mohon ampun dan maaf zahir batin. Bertukar-tukar duit raya. Best… Best… Dah umur 24 tahun pun still dapat duit raya lagi. Boss, kakak angkat, ayah angkat, abang sepupu, kawan pun bagi duit raya. Kira-kira semuanya dapatla dalam RM 800.00. Hehe, tapi duit-duit tu semua dah habis… Hehehe, sebab bila gi rumah kawan2 yang mana ada nenek-nenek tua… Ataupun mak cik2 tua… Saya dah agih-agihkan pada mereka. Lebih duit tu wat isi minyak melawat saudara mara dan balik kamgpung sebelah mak dan ayah. Saya selalu ingat pesan mak dan ayah, dalam kita bergembira jangan lupa pada yang tua dan yang tidak berkemampuan.


Raya pertama, jam 1.00 petang laksa sebanyak 12 kampit selesai. Selepas solat zuhur kami sekeluarga beraya ke rumah ayah saudara di Desa Pelancongan, kami dijamu dengan nasi minyak. Sedap gak… Kemudian ke rumah kawan saya di Kampung Gajah. Hehehe, sedap betul lontong tuan rumah tu. Berpeluh2 makan sebab sedap sgt.


Malam pula kami pecut balik ke rumah kerana kawan sekerja nak beraya kat rumah. Nasib kuah laksa masih berbaki jadi mak rebus sekampit lagi laksa. Di samping tu mak masak nasi untuk makan malam. Selesai menjamu laksa, tetamu diajak makan malam pula. Lauk yang cukup simple tapi nampaknya tetamu selesa dan suka menjamahnya. Lauknya cuma gulai taucu daging, rendang ayam, daging goreng, sambal tumis telur dan ulam petai + sambal belacan.


Hari raya kedua pula penuh saudara mara dan jiran datang berkunjung. Sampai petang. Selepat solat Asar kami bergegas ke rumah terbuka ibu saudara di Taman Pengkalan Timah. Juadah utamanya laksa dan lemang + gulai taucu daging. Menariknya keluarga sebelah ayah akan menyediakan rendang dan gulai taucu daging untuk dimakan bersama lemang. Ini memang menjadi kebiasaan kami sekeluarga. Pendek kata, tak sah hari raya tanpa rendang dan gulai taucu daging… Selepas tu pergi pula ke rumah adik bongsu mak. Hehe… Kami cuma mampu makan biskut raya sahaja kerana sudah kekenyangan……


Hari raya ketiga, menerima kunjungan tetamu yang ramai. Tengahari tetamu mulai lengang, sempatla kami sekeluarga tidur dalam sejam, pastu siap2 pergi balik kampung sebelah mak.


Hari keempat pulak pergi ke Lumut, saja jalan2, sebab adik2 teringin nak main tepi laut. Petang baru balik…


Hari kelima pula pergi balik kampong emak sekali lagi sebab ayah saudara sakit. Hari keenam pula pergi Sungai Siput lawat abang mak dan kemudian ke rumah ayah saudara ayah. Sebelah malam pula pergi ke Kampar, rumah kawan serumah. Makan laksa… Hehehe, kegemaran saya laksa….



Hari ketujuh pula pergi Manjung, beraya rumah pensyarah saya semester lepas yang mengajar subjek Kejuruteraan Tapak. Makan laksa lagi, sedap oooo…. Memang bertuah raya tahun ni dapat makan laksa banyak2… Selepas makan laksa tu, kami sekeluarga pun minta diri. Selepas tu terus pergi ke Stesen Janakuasa Manjung, port tempat saya, kawan baik, dan keluarga memancing. Hehehe, paling terror kawan saya la… Beliau pernah menaikkan seekor pari di tempat kejadian… Selain itu berpuluh2 ekor ikan sembilang pernah tewas ditangannya…. Hebatkan dia tu. Saya? Ada gak la dapat ikan, tapi tak sebanyak beliau la…



Hari kelapan, dah balik umah sewa sebabnya hari kesembilan dah nak kerja dan nak mula puasa sunat…. Selamat hari raya semua...



Sekian laporan raya dari unit berita… Hehehe…

Thursday, September 10, 2009

KESUNYIAN

Apakah itu sunyi? Sunyi ada 2 jenis. Ada sunyi yang indah dan ada sunyi yang sangat menyeksakan. Sunyi yang indah ialah satu keadaan di mana tiada kebisingan, maka sunyi ini dapat mententeram dan mendamaikan diri. Tapi mungkin juga, ada orang yang aman dan tenteram jika keadaan bising agaknya. Tetapi jika suasana bising yang dapat jadikannya aman dan tenteram, sebenarnya ‘something wrong there’. Manakala sunyi yang menyeksakan diri ialah sunyi jiwa ataupun sunyi hati. Mengapa ianya menyeksakan?

Mengapa biasanya sunyi jiwa atau sunyi hati ini berlaku? Antaranya ialah kerana ketiadaan mahupun kekurangan teman yang akrab. Terutamanya di zaman yang serba moden dan canggih ini, teman2 pun canggih2. Ada yang jenis memilih mereka2 yang ada pangkat dan harta sahaja untuk dijadikan teman. Orang2 macam saya ni memang selalunya ‘out of list‘ untuk menjadi teman mereka, huhu. Bukanlah tiada langsung orang nak berkawan dengan orang macam saya yang tidak berharta mana dan berpangkat ni, tetapi sedikit sangatlah. Biasanya orang akan pergi kepada mereka2 yang dijangka akan mendapat pulangan yang lumayan balik dan mendapat glamer apabila berkawan dengan mereka.

Itu adalah realiti kehidupan sekarang. Saya sendiri pun pernah mengalami zaman ramai teman dengan zaman teman makin berkurang setelah kita menjadi orang yang serba kekurangan dan tidak maju membangun seperti mereka. Walaubagaimana pun kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana itu hak mereka. Mungkin kerana kita juga yang tidak pandai berkawan. Maka kita tidak boleh juga memaksa orang lain untuk berteman dengan kita. Kita mesti terima hakikat setakat mana kita mampu berteman dan setakat mana orang lain mampu menerima kita sebagai teman mereka.

Tidak berteman atau tidak mempunyai ramai teman tidak bererti kita perlu melayan kesunyian dalam diri kita. Dan tiada teman tidak sepatutnya menjadikan kita sunyi. Keadaan sunyi dalam jiwa biasanya bukan semata2 kerana tiada teman. Orang yang ramai teman sekalipun ramai juga yang masih kesunyian jiwanya. Mengapa kesunyian jiwa itu masih berlaku sedangkan dia mempunyai ramai teman? Ada yang memberi alasan bahawa teman2nya tidak memahami dirinya, tidak pandai bergaul dengannya, pentingkan diri mereka sendiri dan sebagainya. Itu terpulang kepada pengalaman yang dilalui oleh masing2 kerana lain orang lain ragamnya.

Cuma apa yang saya mahu tekankan di sini ialah, jiwa kita ini sebenarnya perlukan pengisian dan santapan2 nya yang tersendiri. Apabila ianya telah terisi dan mempunyai santapan2nya yang khusus, maka tidak ada teman ke, tidak ada boyfriend atau girlfriend ke, masyarakat menyisihkan kita ke, insyaAllah kita tidak akan sunyi. Tetapi sunyi sekali-sekala tu biasa la, itu adalah lumrah. Cuma yang kita dapat cuba elak ialah sunyi yang kronik yang boleh menyebabkan penyakit jiwa dan seumpamanya.

Memang naluri manusia perlukan kepada teman lebih2 lagi kepada teman sejati yang akan dikahwini dan hidup bersama dengannya selamanya. Tetapi jika jodoh anda masih belum sampai, anda tidak seharusnya merasa kesunyian yang kronik, kerana masih ada banyak alternatif untuk anda tidak merasakan sedemikian. Apa lagi kesunyian kronik hanya akan menyusahkan diri anda sendiri tanpa disedari. Jika kita pasrah terhadap takdir yang menimpa ke atas kita, maka insyaAllah kita tidak akan kecewa dan berputus asa yang menyebabkan kepada kemurungan ataupun kesunyian kronik.

Masing2 kita mempunyai potensi diri, masing2 kita mempunyai bakat anugerah ilahi, kita mempunyai kelebihan masing2. Maka dengan cara mengenali potensi dan bakat yang ada pada diri kita, ini secara tidak langsung juga dapat mengelakkan kita dari kesunyian jiwa. Kerana kita boleh menyibukkan diri dengan kerja2 yang kita mahir padanya. Apabila kita telah sibuk dengan kerja2 dan urusan2 kita, secara automatik perasaan sunyi itu sudah tidak dirasai lagi. Selagi kita berkhayal dengan perasaan sunyi kita , selagi itu lah kesunyian itu akan dirasai. Jika anda masih tidak menjumpai potensi anda dalam sesuatu bidang, cuba lah usaha untuk mencarinya. Percayalah, anda mempunyai kelebihan tersendiri yang mungkin anda sendiri tidak perasan. Dan disamping itu, sentiasalah isi jiwa anda dengan santapan2 yang paling sesuai dengannya.

Apa kah dia santapan jiwa? - Tidak lain dan tidak bukan iaitu sentiasa INGAT kepada PENCIPTA kita. Dan antara cara yang kita boleh buat untuk sentiasa mengingatiNya agar jiwa kita tidak sunyi iaitu dengan solat, membaca AlQuran, berzikir, belajar ilmu agama, buat baik dan jangan lupa sentiasa berdoa dan bertawakkal ke hadiratNya. Puji Allah banyak2 kerana Allah suka kepada hamba2 yang suka memujiNya. jika semua pengisian ini sentiasa kita lakukan, maka tidak ada masa untuk SUNYI menggugat hati kita.

Jangan risau jika anda tidak mempunyai teman, kerana Allah S.w.t ada masa 24 jam sehari untuk anda tanpa tertinggal walau sesaat. Manusia lain termasuk ibu bapa anda sendiri pun tidak boleh meluangkan masa untuk anda selama itu dalam sehari. Manusia lain ada kesibukan dan hal masing2. Tiada manusia yang dapat meluangkan sepenuh masa untuk anda. Akan tetapi Allah S.w.t Yang Maha Berkuasa mempunyai masa untuk seluruh hambaNya setiap saat. Masa Allah tidak sama dengan masa kita dan kita tidak dapat bayangkan kekuasaanNya. Maka sesungguhnya anda tidak keseorangan dan Allah lebih dekat kepada hambaNya lebih dari urat leher hamba itu sendiri. Luahkanlah segala isi hati anda padaNya, DIa Maha Mendengar, insyaAllah anda akan merasa selesa dan tenang dengan berbuat begitu.

Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, dan bentuk2 pertolongan adalah berbeza antara manusia dengan manusia lain sesuai dengan apa yang dimahukan manusia itu sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang diperlukan oleh hamba2Nya. Kerana itu lah di kala seorang hamba itu merasakan kesunyian tanpa teman, antara pertolongan2 Nya ialah Dia mengutuskan hamba2Nya yang lain untuk menjadi teman kepada hamba yang kesunyian tadi. Maka doa dan tawakkal mesti diserahkan kepadaNya, insyaAllah pertolongan akan tiba. Mungkin teman yang akan diutuskan itu bukan dalam waktu terdekat. Mungkin memakan masa, semuanya itu adalah ujian dariNya untuk melihat sejauh mana kesabaran dan keimanan kita.

Ingatlah, untuk mendapat pertolongan terbaik dari Allah juga perlukan kita melakukan solat dan sabar.

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu′.” Surah Al Baqarah : Ayat 45

Jangan merasa terlalu hina dan rendah diri jika anda tidak mempunyai ramai teman. Kerana Nabi Nuh pun tidak ramai yang ingin berteman dengannya. Malahan lebih ramai manusia mencemuh, memperli dan mempermain2kannya. Mempunyai ramai teman tidak bermakna anda seorang yang hebat. Mempunyai ramai teman tidak bermakna anda di pihak yang benar dan sebagainya. Kerana ada kalanya seseorang itu mempunyai teman yang ramai, tetapi teman2 itu hanya bersandiwara, ingin menumpang harta dan pangkatnya semata. Jika sekiranya harta dan pangkatnya hilang, nescaya beransur2 lesap lah teman2nya tadi.

Ketahuilah, kesunyian yang kronik adalah merbahaya kepada jiwa anda sendiri. Ianya juga merupakan salah satu was2 dari syaitan agar kita merasa tertekan, tidak berpuas hati, frust menonggeng, tidak bersyukur dan seterusnya kufur terhadap Tuhan secara halus. Maka sebaiknya kita cuba mengelak dari merasakan kesunyian yang terlajak.

Tetapi kesunyian itu sendiri ada hikmahnya. Dengan perasaan sunyi itu lah seorang hamba merasakan kebergantungan terhadap Tuhannya. Di kala sunyi itu lah seorang hamba mudah teringat kembali kepada Tuhannya. Jika tidak mungkin dia akan terus hanyut dengan kesenangan duniawi yang menipu ini. Cuma yang penting, kesunyian itu harus terkawal dan tidak keterlaluan sehingga boleh memudaratkan diri sendiri.

Maka bagi mereka yang masih merasakan ketiadaan atau kekurangan teman, sesungguhnya masih ramai lagi yang merasakan sebegitu, bukan anda seorang. Cuba la belek2 kat mana2 nescaya akan terjumpa lah insyaAllah, orang2 yang senasib dengan anda, di mana anda boleh kongsi bersama suka-duka anda nanti. Dan jangan lupa untuk sentiasa INGAT kepada Allah , sentiasa merasakan kehadiranNya, supaya hati kita sendiri akan menjadi tenteram keranaNya. Semoga kita semua dilindungi Allah dari keadaan sunyi jiwa kerana Allah bersama orang2 yang sabar, Allah bersama orang2 yang bertaqwa, Allah bersama orang2 yang bertawakkal kepadaNya, Allah bersama2 orang yang membantu agamaNya.
P/S : Mungkin Allah sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.

Wednesday, September 2, 2009

AMALAN2 YANG TERBALIK DI MALAYSIA

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datangmembaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara, kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allahbaik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkahini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain. ??

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan berpuluh ringgit satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapatbaca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid sedangkan itu ialah peraturan Allah. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, langsung biasa-biasa sahaja. Sedangkan yang dituntut seorang isteri ituberhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.

11. Kita cukup teruja untuk forward kan sms atau emel dalam bentuk jokes, gossip2 artis kepada kawan2. Malah kebanyakkan sms emel tersebut tidak benar dan boleh menjatuhkan maruah org lain. Tapi kenapa susah sangat nak forward emel2 peringatan sebegini kepada kawan2 kita??.....


P/S : Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kitamaka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita. Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

Tuesday, September 1, 2009

MAKAN SECARA SIHAT




Nampaknya pasar ramadhan di kawasan rumah saya sesak. Bukan setakat orang Islam yang mengunjunginya malah kaum Cina dan India juga tidak melepaskan peluang untuk merasai kelazatan juadah yang dijual. Kami sekeluarga memasak sendiri juadah berbuka, cuma bila adik-adik merengek mahukan sate, ayam percik dan kuih muih barulah bazar ramadhan kami kunjungi.


Setelah seharian berpuasa, pastinya pelbagai juadah akan dibeli apabila berkunjung ke pasar atau bazar Ramadhan ini. Pada masa ini, apa saja yang teringin pasti akan dibeli tanpa memikirkan adakah kita mampu untuk makan kesemua makanan tersebut. Apa yang paling penting, rata-rata antara kita mula mengetepikan amalan makan secara sihat semata-mata kerana berpuasa.


Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah untuk berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman kita.


Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Secara ideal, diet semasa berbuka puasa adalah seperti berikut :


Berbuka

3 biji buah kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur dan 1 keping kuih.


Makan malam

11/2 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.


Makan lewat malam

Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic kacang atau buah-buahan. Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan kepada perut anda di siang hari. Manakala, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi pula boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.


Sahur

Amalan bersahur adalah penting semasa berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu Subuh. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan. Ini kerana tenaga yang diambil daripada makanan sebelum tidur akan disimpan di dalam badan sebagai lemak.

Semasa bersahur , adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur.

Ramadhan merupakan satu peluang untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula. Beri perhatian juga pada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, kita lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk anda tidak aktif. Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana selagi ia tidak memudaratkan. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan pengambilan nutrien. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
SELAMAT BERPUASA :)