Wednesday, May 6, 2009

CINTA


Alkisah di sebuah pulau kecil, tinggallah benda abstrak. Ada CINTA, KEKAYAAN, KECANTIKAN, KESEDIHAN, KEGEMBIRAAN dan sebagainya. Pada awalnya mereka hidup bersama-sama dengan aman dan saling memerlukan. Namun pada suatu hari, tiba-tiba badai datang menghempas pulau kecil itu dan air laut tiba-tiba bergelombang dan menimbulkan ombak yang sangat besar dan akan menenggelamkan pulau itu. Semua penghuni di pulau itu segera berusaha menyelamatkan diri.

CINTA sangat bimbang kerana ia tidak pandai berenang dan tidak memiliki perahu. Ia berdiri di tepi pantai untuk meminta bantuan. Ia berdiri di tepi pantai untuk meminta bantuan. Sementara itu air semakin naik membasahi kaki CINTA. Tidak lama kemudian, kelihatan KEKAYAAN sedang mengayuh perahu.

”KEKAYAAN! KEKAYAAN! Tolonglah aku!” teriak CINTA.

Dengan segera KEKAYAAN pun menjawab, ”Ohh! Maafkan aku, CINTA!” kata KEKAYAAN. “ Perahuku telah penuh dengan semua hartaku. Aku tak dapat membawamu bersama, nanti perahu ini akan tenggelam. Lagipun tak ada ruang lagi untuk kau di perahuku ini”.

CINTA amat sedih sekali, namun kemudian dia melihat KEGEMBIRAAN melintasi di depannya dengan sebuah perahu.

”KEGEMBIRAAN! Tolonglah aku!” Teriak CINTA.

Oleh kerana KEGEMBIRAAN terlalu gembira kerana dia telah menjumpai sebuah perahu, dia langsung tidak mendengari teriakan CINTA. Air semakin meninggi membasahi CINTA sampai ke paras pinggang dan CINTA semakin panik. Tidak lama selepas itu, lalulah KECANTIKAN di depannya.

”KECANTIKAN! Bawalah aku bersamamu!” teriak CINTA.

” Wah, CINTA kamu sudah basah dan kotor. Aku tak boleh membawamu bersama. Nanti kau akan mengotorkan perahuku yang indah ini.” Sahut KECANTIKAN.

CINTA amat sedih mendengarnya. CINTA mula menangis teresak-esak.

”Apa kesalahanku, mengapa semua orang tidak mempedulikan aku?”

”Ketika CINTA sedang menangis , lalulah pula KESEDIHAN dengan perahunya.

”Oh, KESEDIHAN, bawalah aku bersamamu,” kata CINTA.

”Maaf CINTA. Aku sedang bersedih dan aku ingin bersendirian...” kata KESEDIHAN sambil terus mendayung perahunya.

CINTA sudah mula putus asa. Air semakin naik dan akan menenggelamkannya. CINTA terus berharap agar dirinya akan diselamatkan orang. Dia berdoa kepada Tuhan.

“Oh, Tuhan tolonglah aku, apa akan terjadi pada dunia tanpa aku, tanpa CINTA?”

Pada saat yang kritikal itu, tiba-tiba terdengar suara memanggilnya,

“CINTA! Mari cepat naik ke perahuku!”

CINTA menoleh ke arah suara itu dan melihat seorang tua berjanggut panjang memutih sedang mendayung perahunya. CINTA pun naik ke perahu itu, tepat sebelum air menenggelamkannya.

Kemudian setibanya di pulau yang berhampiran, orang tua itu menurunkan CINTA dan segera meninggalkan pulau itu. Pada ketika itulah, baru CINTA sedar bahawa dia tidak mengetahui siapakah gerangan orang tua itu yang baik hati dan telah menyelamatkannya itu. CINTA segera bertanya kepada seorang penduduk tua di pulau itu, siapa sebenarnya orang itu.

”Oh, orang tua tadi. Dia ialah IMAN” , kata orang itu.

CINTA pun bertanya lagi, “Tapi mengapakah dia menyelamatkan aku? Aku tak kenal dia, sedangkan kawan-kawan yang mengenaliku langsung tidak mahu menolongku,” tanya CINTA kehairanan.

”Sebab, hanya IMANlah yang tahu betapa berharganya CINTA itu, hanya CINTA sejati bersandarkan IMANlah yang akan berkekalan hingga ke syurga,” kata orang itu.

Setelah itu, fahamlah CINTA akan kepentingannya di dunia ini. Tanpa IMAN, apalah yang akan terjadi pada CINTA. Jika tiada IMAN akan hancurlah CINTA itu.

Sesungguhnya cinta kepada Allah itu yang paling utama. Cinta bersandarkan iman itu yang paling berharga. Cinta yang bersandarkan kekayaan, kecantikan, kesedihan, kegembiraan hanyalah perkara sementara di dunia ini. Segalanya akan membawa kepada kehancuran diri dan akan memudahkan syaitan menjalankan peranannya untuk menghancurkan lagi diri kita.

Oleh itu wahai saudara-saudaraku sekalian, ingatlah bahawa cinta yang bersandarkan iman itulah yang membawa kita ke syurga. Bagaimana untuk membezakan cinta bersandarkan iman atau tidak?

Sebagai pasangan kekasih, cinta bersandarkan iman mestilah tidak membawa seseorang itu kepada kemaksiatan seperti keluar berdua-duaan dengan bukan muhrim kita. Tidak berpegangan tangan, tidak berzina
dan sebagainya.

Jika sebaliknya, cinta itu hanyalah bersandarkan kepada perkara duniawi semata- mata disamping hasutan syaitan dan tuntutan nafsu. Itulah cinta yang tidak akan berkekalan hingga ke syurga, hanya keduniaan semata-mata.

Hanya sekadar bercerita....dan dalam bercerita ambillah iktibar.

No comments: