Thursday, January 19, 2012

Demam memanjang :-)

Assalamualaikum wbrt :-)

Alhamdulillah, akhirnya minggu-minggu yang memenatkan berlalu pergi. Namun tuntutan tugas pula yang menjadi-jadi :-). Begitulah kehidupan :-). Kena pandai mengatur masa, antara tugas, orang2 yang kita sayang dan kehidupan :-).

Ya Allah, kurniakanlah kekuatan untuk berkasih sayang :-)

Friday, October 7, 2011

MINGGU-MINGGU YANG MEMBUATKAN SAYA TERTEKAN

Ya ALLAH, kurniakanlah saya kekuatan untuk menghadapi semua ujianMU :-) Bukan kesenangan hidup yang saya inginkan tetapi kekuatan untuk menghadapi segala ujianMU... Sesungguhnya hambaMU ini tahu, ujian-hujian yang ENGKAU berikan ini bertujuan untuk mendidik jiwa dan keimananku :-)

Terima kasih Ya ALLAH :-)

Monday, June 13, 2011

TERASA HATI

Saya seorang yang sukar untuk merasa kecil hati atau terasa hati, tetapi sesekali bila terasa hati memang teruk dan tak ada siapa yang tahu :-) Kira macam sendiri merajuk sendiri pujuk la. Saya memang banyak cakap tapi saya malas sangat nak membicarakan soal orang lain selain hal berkaitan saya sbb hal saya pun dah tak terkira. Kadang2 hal merepek2 aje :-)

Saya suka dinasihati selain suka la jugak menasihati orang lain walaupun hakikatnya kekadang nampak macam membebel2. Tapi hakikatnya saya membebel sebab saya sayang semua orang :-) Setiap wajah2 yang saya pandang adalah dengan renungan kasih sayang :-) Eh, apa kaitan lak tentang saya kn… Ni nak citer kita bab lain sbnrnya :-)

Nak dijadikan cerita satu hari tu kan, saya betul-betul kecik hati. Seorang sahabat yang saya sayangi hadiahkan sepotong kek coklat, hasil buatannya sendiri. Kerana terlalu menghargai saya sayang nak makan. Saya nak menatap kek tu puas2.

Tetiba telefon rumah berdering2, kebetulan sapapun tak ada kat rumah. Kemudian saya letakkan bekas kek tersebut di atas kabinet. Makanya saya dengan berat hati meninggalkan kek tersebut lantas mengangkat gagang. Bila angkat tak ada sapa pun dekat talian. Ish3, sapa pulak la yang dok missed call telefon rumah saya ni kan…. Tak baik missed call2 ni tau :-)

Tapi kan… Kan… Kan… Pas tu handset adik saya pula dok berbunyi2 di dalam bilik. Saya pun tolong la angkat, takut ada urusan penting ke apa ke kan… Rupanya salah nombor la pulak… Aje… Kebetulan terpandangkan katil, mengantuk pulak rasa maklumla sorang2 kat umah. Aktiviti paling saya suka adalah tido sebab best selain iti ia juga tak perlu mengeluarkan modal . Apa lagi, terus la landing atas katil dan seterusnya ZzzzzzZZZZZZZZzzzz la :-)

Dua jam tertido akhirnya saya tersedar apabila sayup2 suara azan Asar :-) Bangun2 je terus terus teringat KEKKKK!!!! Turun dari katil terus gi tengok kek kat atas kabinet… Huhuhuhu…. Dipenuhi semut… Banyak pulak tu… Kecik hati betul la dengan semut2 nie… Geram2 :-)

Tapi kan, bila tengok je semut2 ni dengan gigihnya masuk ke dalam bekas dan mengelilingi kek tersebut, tak sampai hati pula nak mengapa2kan semut2 tersebut. Setelah memerhati selama 10 minit, saya ambil keputusan untuk rasa juga kek tu. Perlahan saya membuka bekas tersebut, terdapat separuh daripada rombongan semut tersebut berlari2 itik meninggalkan bekas n kek tersebut :-)

Alahai, saya bukan nak apa2kan mereka semua, cuma nak rasa sikit je :-) Kemudian saya cubitla sikit kek tersebut… Risau juga termakan semut2 tu skali… Mujurlah x :-) Memang sedap, tapi yela, dah memang rezeki semut2 tu kan… Hmmm… Alhamdulillah, saya berkongsi rezeki dengan semut tersebut :-)

Saya dah tak jadi nak meneruskan perasaan kecil hati sebab semut ni pun makhluk Allah swt :-) Semua rezeki di muka bumi ni kepunyaan Allah swt :-) Jadi kek tersebut bukan milik saya…

Lantas saya mengangkat bekas berisi kek dan saya letakkan di tepi pintu luar belakang rumah, di tempat yang redup :-) Maka berpestalah semut2 tersebut :-) Saya harap semut2 tu akan menghargai kek kawan saya tu :-) Saya letakkan bekas n kek kat luar rumah sebab saya takut adik saya yang akan pulang ke rumah tak lama lagi akan menyembur ridsect pada semut2 tersebut.

Saya kagum dengan semut2 tersebut :-) Teringat saya cerita tentang semut :-)

Seekor semut pernah berkomunikasi dengan Nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman a.s pernah bertanya kepada seekor semut berapa banyak makanan yang ia perlukan untuk hidup selama setahun. Semut menjawab bahawa ia hanya memerlukan makanan sebesar sebiji gandum.

Lalu Nabi Sulaiman a.s memasukkan semut tersebut ke dalam sebuah botol dan meletakkan bersama gula sebesar biji gandum. Mulut botol itu ditutup.

Cukup tempoh setahun, botol tersebut dibuka semula oleh Nabi Sulaiman a.s. Anehnya baginda mendapati hanya separuh sahaja gula sebesar biji gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut :-)

Nabi Sulaiman a.s bertanya mengapakah terjadi demikian. Sang semut menjelaskan bahawa jika berada di luar botol, rezekinya dijamin sepenuhnya oleh Allah swt dan ia yakin Allah sentiasa mencukupkan rezekinya. Sebab itu ia tidak pernah risau dgn hakikat itu :-)

Tetapi apabila dikurung oleh manusia iaitu Nabi Sulaiman a.s, sang semut mengambil langkah berjaga2 dan berjimat cermat kerana risau dan tidak yakin dengan keprihatinan manusia. Mana tahu jikalau manusia itu terlupa dan mengurungnya lebih drpd tempoh 1 tahun :-) Apakah akan terjadi kepadanya. Makanya dia harus berjimat cermat :-)

Semut lebih yakin dengan dengan JAMINAN ALLAH berbanding manusia sendiri… Renung2la (Nasihat ni lebih kepada saya ye) :-)

Tuesday, June 7, 2011

Kisah Si Pemalas :-)

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu.


Keluhannya mengandungi kata-kata, “Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik.”


Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik saja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya.


Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis, ." Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus”


Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, “Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kelmarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku.”


Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik saja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.


Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya, “Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian ‘malas’ namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya.


Jangan?.jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah?carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya.”


Sebaik saja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.


Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.


Dalam Islam tiada istilah pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi jalanan tanpa berbuat apa-apa :-) Lebih malang lagi bagi yang mempunyai pekerjaan tetapi tidak melaksanakannya dengan baik serta berkelakuan lebih teruk jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.


Monday, June 6, 2011

DOA

Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”

Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.

Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)

Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.

Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.

Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.

Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.

Para rasul dan nabi juga mendidik umatnya dengan doa. Nabi Muhammad s.a.w. khususnya, telah mengajar kita untuk berdoa pada setiap masa dan ketika. Tradisi itu diteruskan lagi oleh para sahabat, tabiin, tabi‘ al-tabiin dan generasi salafussoleh. Alhasil, khazanah doa sentiasa bertambah daripada satu zaman ke satu zaman.

Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:

1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa

Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali yang akan dihanyutkan oleh gelombang hidup tanpa arah tuju yang pasti.

Doa jua sebenarnya adalah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikatnya sebuah kebahagiaan. Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah al-Ra‘d 13: 28)

Jelas di sini, orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stres yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah apatah lagi apabila dia memerlukan pertolongan. Terbukti hasil kajian dan pemerhatian sejak zaman berzaman, orang yang kuat beragama jarang sakit jiwa apatah lagi membunuh diri. Apa yang agama telah beri sehingga mereka berani menghadapi hidup ini? Ya, doa!

2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan

Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu sentiasa berubah –daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (Surah al-Syura 42: 26)

Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Doa itu harapan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan

Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mengiringi dan mendampingi kita. Apabila kita makan tanpa berdoa misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama kita. Akibatnya, makanan yang kita makan akan hilang keberkatannya. Tenaga yang diperoleh daripada makanan itu akan terarah kepada kejahatan dan menjadi sebab kita terjerumus ke neraka.

Syaitan akan menghasut dengan menimbulkan berapa keraguan, ketakutan, kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati. Inilah punca kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang. Syaitan umpama virus pada hati manusia. Jadi, hanya dengan mengingati Allah menerusi doa kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa ingin mendampingi kita.

Sebaliknya jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Malaikat akan dekat kepada orang yang dekat dengan Allah. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu berdoalah, insya-Allah malaikat akan hampir, syaitan pula akan meminggir!

4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas

Doa secara tidak langsung menyebabkan kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Apa sebenarnya masalah kita? Inilah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Sedangkan mereka tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.

Doa telah menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Begitu yang ditegaskan oleh pakar-pakar psikologi. Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang. Doa adalah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Bukankah dengan berdoa hakikatnya kita “berkata-kata” dengan Allah.

Jadi, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata yang kita gunakan semasa itu seperti membentangkan masalah kita secara tidak langsung. Ini akan memberi kelegaan, malah masalah yang dinyatakan dengan terang itu sudah menjadi separuh selesai!

5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan

Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara bersendirian. Ada kalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk berkongsi rasa dengan kita. Malah dalam keadaan itu adalah lebih baik untuk menceritakan kepada orang lain akan masalah itu.

Namun ada kalanya masalah kita terlalu personal yang kita rasa malu atau enggan untuk diceritakan kepada orang lain. Kadangkala kebimbangan kita terlalu tinggi sehingga tidak dapat berbincang pun dengan saudara-saudara atau sahabat-sahabat terapat. Pada ketika itu kepada siapa kita hendak mengadu?

Ya, sudah pasti kepada Allah. Berdoalah, Allah sentiasa sedia dan setia untuk mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 186)

Berdoa memberikan kita rasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Malah kita akan berasa keberadaan Allah bersama kita untuk berdepan dengan apa jua masalah. Benarlah kata pujangga Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat untuk mendengar segala rintihan dan harapan.

6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha

Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan tindakan.

Terdapat saintis menyatakan bahawa doa juga adalah sejenis tenaga. Iaitu sejenis tenaga yang boleh dihasilkan dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.

Semasa berdoa seorang manusia akan meningkatkan keupayaan tenaga mereka yang terhad dengan menyerahkan diri kepada sumber tenaga yang tidak terhad. Interaksi dan komunikasi kepada sumber tenaga yang Maha Hebat ini akan meledakkan satu kuasa yang sangat kuat. Inilah sumber tenaga dan kuasa yang dimiliki oleh para Rasul apabila berdepan dengan kuasa-kuasa besar yang menghalang kebenaran yang hendak disampaikan kepada umat mereka.

Dengan kuasa Allah impak daripada doa-doa mereka, Namrud, Firaun, Kafir Quraisy yang punya kuasa, harta dan senjata tewas apabila berdepan dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Doa adalah antara faktor kejayaan itu. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat al-Hakim no. 1218)

Walaupun doa itu satu senjata, tetapi jarang sekali digunakan untuk memusnahkan musuh. Sebaliknya ketika berdepan dengan kaumnya, seseorang Rasul sentiasa mendoakan agar kaumnya mendapat hidayah dan taufik daripada Allah, bukan doa menghancurkan mereka. Di Taif umpamanya, setelah Nabi Muhammad s.a.w. diusir dan dilukai, Baginda telah berdoa untuk mendapat hasil jangka panjang (yakni taufik dan hidayah kepada zuriat penduduk Taif pada masa akan datang). Baginda menolak tawaran malaikat memberikan hasil yang “instant” iaitu dihempap gunung ke atas penduduk Taif.

7. Menghindar daripada Penyakit Fizikal

Doa bukan sahaja mampu menyihatkan hati tetapi juga menyihatkan fizikal kita. Sains perubatan berjaya memusnahkan penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus yang telah membunuh berjuta-juta manusia. Tetapi sains perubatan tidak berjaya melawan kemusnahan minda dan fizikal yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Sains tidak mampu menyekat emosi kerisauan, ketakutan, kebencian, kemurungan yang semakin menular dalam kehidupan manusia masa kini dengan pantasnya.

Semua emosi yang negatif itu memberi impak langsung kepada fizikal manusia. Apa kata Wiliam James (pakar perubatan dan psikologi) tentang risau? Beliau berkata, “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit kerongkong malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh kerisauan, ketakutan dan penyakit-penyakit hati (mazmumah) yang lain.

Tetapi dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada penyakit-penyakit fizikal. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli perubatan adalah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Dan kesalahan ini akhirnya diakui oleh pakar perubatan moden dengan mewujudkan satu “ubat” baru yang dikenali sebagai psikosomatik (gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah psikologi, seperti rasa bimbang, takut dan lain-lain) – ubat yang merawat fikiran dan tubuh badan.

Salah Faham Tentang Doa

Itulah antara sebab mengapa Allah perintahkan kita berdoa. Kebaikan dan manfaat doa bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Jika orang yang sabar, perkasa, mulia, berilmu seperti para rasul dan nabi itu pun sentiasa berdoa, apatah lagi kita yang lemah, jahil dan “biasa-biasa” sahaja berbanding mereka.

Dengan hujah di atas, maka ternafilah anggapan negatif sesetengah pihak tentang doa. Ada pihak yang menganggap doa itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang mereka inginkan. Lalu apabila tidak ada apa yang diinginkan, tidak perlulah berdoa. Anggapan ternyata salah kerana doa itu bukan permohonan tetapi juga satu kewajipan. Maka berdoa itu merupakan lambang kehambaan kita kepada yang Maha Esa. Oleh sebab itu, doa perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya.

Selain itu doa juga bukan sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana doa itu sesuatu yang pro-aktif. Malah doa itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Doa penting pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran sesuatu tindakan.

Islam tidak mahu umatnya berdoa setelah berasa lemah. Jangan berdoa dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdoalah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Doa sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Lihatlah, dengan keberkatan doalah Nabi Musa mampu berdepan dengan Firaun dan ahli sihirnya. Dengan doa juga, Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala-berhala sembahan Namrud. Malah Nabi Muhammad berdoa ketika memulakan hijrah. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim 14: 39)

Oleh yang demikian tidak mungkin orang yang benar-benar berdoa untuk mendapat hidayah, rasa berat hati untuk menghadiri majlis-majlis tazkirah dan pengajian. Tidak mungkin orang yang memohon untuk mendapat rezeki yang halal, tetapi terus bermalas-malas tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Jadi, jagalah integriti dalam berdoa dengan menyejajarkan antara doa dengan usaha. Misalnya, janganlah setiap hari berdoa minta kesihatan tetapi terus merokok. Jika demikian, apakah kita tidak terasa yang kita sedang “mempermainkan” doa dan kepada siapa yang kita berdoa itu?

Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.

Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!

Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”

Thursday, June 2, 2011

Maksud SAYANG :-)

Apakah maksud sayang bagi anda semua. Bagi saya sayang itu ialah suatu perasaan terhadap orang, benda, perkara, atau abstrak yang saya senangi. Ianya perlu saya jaga, saya bahagiakan, saya lindungi serta saya menyimpan segala memori tentangnya di dasar hati saya. Sayang adalah suatu perasaan di mana mengasihinya dengan sepenuh hati. Sayang yang tidak terbandingkan dan tidak tergantikan dengan sebarang bentuk material.

Dalam diri setiap anak-anak Adam, Allah s.w.t telah bekalkan pelbagai bentuk perasaan. Perasaan ini bersifat rohaniah dan tempatnya adalah di dalam hati. Maha Suci bagi Allah s.w.t dengan kuasa maha hebatnya menciptakan sekeping hati yang kecil itu dapat menyimpan rasa kasih sayang yang pelbagai.

Sejarah juga telah membuktikan betapa hebatnya kasih sayang antara para sahabat. Betapa mendalam dan ikhlasnya kasih sayang yang ditunjukkan. Ini dapat dibuktikan melalui pengorbanan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w terhadap baginda. Hingga nyawa juga bukan halangan demi membuktikan kecintaan serta sokongan mereka terhadap Rasulullah s.a.w dalam menegakkan Islam.

Namun sayang sekali pada hari ini kita seringkali salah mentafsirkan maksud sahabat yang sebenar. Di dalam menjalinkan hubungan silatulrahim dan persahabatan, selain sifat harga menghargai, kejujuran juga amat penting kerana sahabat yang paling menguntungkan adalah seorang sahabat yang jujur, suka berterus terang dan tidak menyembunyikan sesuatu dari anda, apatah lagi perkara itu boleh membawa keburukan kepada diri anda. Dalam Islam memang dituntut setiap orang itu memuliakan saudaranya, lebih dari dirinya sendiri. Begitu jugalah dengan kepentingan diri anda sendiri.

Anda harus mementingkan sahabat anda seperti anda lakukan terhadap diri anda juga. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam hadis Qudsi yang bermaksud : “Sudah pastilah kecintaan-KU itu untuk orang-orang yang saling ziarah menziarahi kerana AKU. Sudah pasti pula kecintaan-KU untuk orang yang saling cinta menyintai kerana AKU, sudah pasti pula kecintaan-KU kepada orang-orang yang saling bantu membantu kerana AKU. Juga sudah pastilah kecintaan-KU untuk orang yang saling tolong menolong kerana AKU.” - Riwayat Ahmad dan Hakim.

Manakala sifat ikhlas pula akan memberikan kesegaran kepada jiwa, ikhlas memberi dan menerima dalam apa jua bentuk pertolongan atau pemberian dari setiap individu muslim itu.

Setiap muslim harus menyemaikan sifat ikhlas itu sejak kecil lagi, kerana keikhlasan itu membuat hati kita gembira dan tenang dalam menghadapi sesuatu keadaan.

Tahukah anda, kerana tidak ikhlas jiwa kita akan menjadi rosak dan berdendam, berdendam memang dilarang dalam Islam. Keikhlasan bukan sahaja memberi kesegaran kepada jiwa, tetapi boleh membuatkan anda bertambah taqwa kepada Allah SWT.

Oleh itu, kebersihan hati hanya boleh dicapai dengan iman dan taqwa kepada Allah SWT, dengan secara langsung keikhlasan akan terpancar di jiwa kita. Lakukan sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas, berilah sesuatu kepada seseorang dengan ikhlas bukan dengan ada sebab lain.

Cuba anda renung dan berfikir sejenak, bertanya dengan diri anda…Adakah anda telah berlaku jujur terhadap sahabat-sahabat anda ? Adakah anda sudah lakukan sepertimana yang dianjurkan oleh syariat Islam ?

Sekiranya anda telah berlaku jujur terhadap sahabat dan rakan anda… Alhamdulillah… Tetapi ada juga sesetengah manusia di dunia ini mereka menjalinkan hubungan silatulrahim dan persahabatan adalah kerana inginkan kebendaan semata-mata. Dan ada juga yang suka memilih bulu dalam persahabatan. Mereka memilih orang-orang tertentu untuk di jadikan sahabat supaya mereka mendapat manfaat daripada persahabatan itu, bukannya atas dasar keikhlasan dan kejujuran kerana Allah SWT tetapi bak kata pepatah “ada udang di sebalik batu”.

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

Wednesday, January 6, 2010

Tahun 2010

Assalamualaikum wbrt :)


Alhamdulillah, kita telahpun masuk ke tahun baru 2010. Semoga tahun ini menjanjikan sejuta kebahagiaan dan rahmat buat diri kita sendiri. Apabila bercerita tentang tahun baru akan adalah penambahbaikan yang akan dibuat dalam diri dan kehidupan kita :).


Dalam pada erti tahun baru juga membwa makna mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Apabila kelemahan dikenalpasti maka disitulah datangnya perasaan untuk memperbaiki. Namun tidak semua merasai akan kelemahan. Ada juga perspektif lain daripada kelemahan. Kerana tidak semua orang akan merasai kelemahan dalam diri.

Muhasabah dalam erti kata sebenarnya adalah proses menghitung diri, menilai amalan, tindakan sebelum ini dan ianya memberi satu perspektif yang cukup mendalam. Menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam.

Sejauhmanakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai atau sebaliknya. Oleh sebab itu dalam menyambut Tahun baru hijrah pada kali ini kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah dan sebagai hambanya yang beriman.

Mari kita renung firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud,

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”


Mari kita mulai tahun baru ini dengan merenung ingatan Allah SWT daripada intipati ayat di atas ini yang memberi satu nafas baru kepada kita sebagai insan yang bergelar manusia. Sesungguhnya manusia yang berjaya di sisiNya adalah mereka yang sentiasa menjaga masa dengan amalan yang diredhai oleh Allah .

Mereka yang beriman dan beramal soleh adalah orang-orang yang sentiasa berada di sisi Allah dan syarat bagi yang beriman itu haruslah mereka yang berpegang kepada dua prinsip iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran . Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagaimana untuk kita memimpin diri bagi meneruskan tahun mendatang. Sudah pasti kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan.